Tun M hantar surat bantahan kepada pemimpin Eropah berkenaan kempen anti minyak sawit | MalaysiaBaharu.org - Membina Malaysia Baharu

Pages

Tun M hantar surat bantahan kepada pemimpin Eropah berkenaan kempen anti minyak sawit


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menulis surat kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Perdana Menteri Norway, Erna Solberg mengenai bantahan Malaysia terhadap larangan penggunaan minyak sawit di negara terbabit.
Menteri Perusahaan Utama, Teresa Kok berkata, keputusan itu diputuskan selepas isu berkenaan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet susulan keputusan Parlimen Norway meluluskan resolusi menghentikan penggunaan bahan api bio berasaskan minyak sawit bermula 2020 apabila mengaitkannya dengan aktiviti penebangan hutan.
Katanya, langkah menghantar surat berkenaan juga adalah antara tindakan Malaysia dalam menangani isu larangan penggunaan produk berkaitan sawit di negara Kesatuan Eropah (EU).
"Satu persatu Parlimen di Eropah meluluskan resolusi yang cuba melarang minyak sawit masuk ke dalam pasaran Eropah. Kami rasa ini tidak adil untuk Malaysia.
"Ini akan menjejaskan hubungan antara negara pengeluar minyak sawit dengan EU,"katanya pada sidang media selepas pelancaran awal kempen "Love MY Palm Oil" 2019 di sini, hari ini.
Pelancaran awal kempen itu diadakan sempena Seminar dan Dialog Industri Capaian dan Mengingatkan Sahabat 2019 anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).
Sementara itu, Kok berkata, Malaysia sebagai Pengerusi Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) akan bekerjasama dengan pengeluar terbesar minyak sawit, Indonesia untuk menentang larangan penggunaan minyak sawit di Eropah.
Beliau memaklumkan akan ke Indonesia bulan depan bagi membincangkan isu berkenaan.
Mengenai eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit, beliau berkata, nilai eksport komoditi itu berkurangan kepada RM62.7 bilion setakat November 2018 berbanding RM71.4 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama 2017 berikutan harga minyak sawit yang rendah.
Bagaimanapun, katanya dari segi jumlah, eksport minyak sawit dan produk berkaitan sawit meningkat sebanyak 3.7 peratus kepada 23.2 juta tan dalam tempoh berkenaan.
Mengulas mengenai kempen "Love MY Palm Oil", Kok berkata, ia bertujuan memupuk kebanggaan negara dan penghargaan terhadap minyak sawit Malaysia dengan memberi tumpuan dalam ekonomi sosial, kesihatan, nutrisi, aplikasi makanan dan bukan makanan.
Beliau berkata, pelancaran penuh kempen itu akan disempurnakan oleh Perdana Menteri pada suku pertama tahun ini.
Katanya, pelbagai aktiviti akan diadakan mengikut kumpulan sasaran.

MYbaru

Topik mengenai Malaysia Baru, Berita Terkini, Foto, Video, Foto mengenai Pakatan Harapan dan lihat perkembangan terkini, berita, informasi dari Hicore Solutions.

No comments:

Post a Comment