Rasuah: Bekas CEO Kumpulan Perak Corporation Berhad didakwa SPRM | MalaysiaBaharu.org - Membina Malaysia Baharu

Pages

Rasuah: Bekas CEO Kumpulan Perak Corporation Berhad didakwa SPRM


Ipoh: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perak Corporation Berhad (Perak Corp) didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas tuduhan menerima suapan berupa pembayaran pembinaan rumah banglo miliknya yang bernilai hampir setengah juta ringgit.

Tertuduh, Datuk Aminuddin Md Desa bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Aminuddin, 57, dituduh melakukan kesalahan itu pada 17 Januari hingga 3 Julai 2017  di Public Bank Berhad cawangan Jalan Sultan Idris Shah, Ipoh.
Beliau dituduh menerima pembayaran bagi kerja-kerja pembinaan banglonya di Mukim Hulu Kinta berjumlah RM455,660 daripada pengarah sebuah syarikat pembinaan yang diketahui terlibat dengan kontrak cadangan kerja-kerja infrastruktur utama dan lain-lain kerja berkaitan di Bandar Meru Raya 2.

Beliau dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya.

Aminuddin dilantik sebagai CEO Kumpulan Perak Corp pada Febuari 2013 dan meletakkan jawatan pada Mei tahun lalu.

Beliau juga merupakan bekas Ketua Eksekutif anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Hakim menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin di samping syarat tambahan, tertuduh diminta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Hakim kemudiannya menetapkan 22 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula untuk pengurusan kes.

MYBaru

Topik mengenai Malaysia Baru, Berita Terkini, Foto, Video, Foto mengenai Pakatan Harapan dan lihat perkembangan terkini, berita, informasi dari Hicore Solutions.

No comments:

Post a Comment