Beliau berkata, Kabinet telah memutuskan supaya kes terbabit dibuka semula dan mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun supaya mengambil tindakan segera berhubung keputusan tersebut menerusi Mesyuarat Pasca Kabinet Kementerian Dalam Negeri pada 27 Jun 2018.
Menurut beliau, susulan daripada arahan dan surat daripada Jabatan Peguam Negara bertarikh 17 Julai 2018, PDRM telah menubuhkan sebuah pasukan petugas khas yang diketuai Datuk K. Manoharan untuk menyiasat semula kes berkenaan.
“Pasukan petugas khas ini telah menyiapkan kertas siasatan dan menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut pada 18 Oktober 2018.
“Kenyataan saya bahawa pihak polis sedang menunggu arahan daripada Peguam Negara seperti dilaporkan media pada 25 Oktober 2018 adalah merujuk kepada arahan lanjut daripada Peguam Negara berhubung kertas siasatan yang telah diserahkan oleh pasukan petugas khas.
“Peguam Negara telah memberikan arahan tertentu kepada Pasukan Petugas Khas pada 17 Disember 2018 dan siasatan masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan menerusi akaun Facebook miliknya di sini hari ini.
Semalam, Ramkarpal dalam satu kenyataan mendakwa Kementerian Dalam Negeri mengambil langkah berdiam diri serta gagal mengarahkan PDRM untuk membuka semula siasatan berhubung kematian Setiausaha Politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ean Yong Hian Wah sekali gus menimbulkan kecurigaan mengenai cubaan menutup kes terbabit.