Mayat dikerat jari kaki: Polis mohon bantuan orang ramai | MalaysiaBaharu.org - Membina Malaysia Baharu

Pages

Mayat dikerat jari kaki: Polis mohon bantuan orang ramai


Kuala Lumpur: Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes penemuan dua mayat yang ditemui dalam keadaan jari kaki dikerat untuk tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya berharap ada individu yang boleh tampil menyalurkan maklumat berhubung dua mayat yang ditemui di lokasi berlainan.

"Kita minta orang ramai yang ada maklumat untuk tampil bantu pihak polis. Tempat kejadian itu ramai orang lalu, dan kita akan pantau juga rakaman CCTV (kamera litar tertutup)," katanya pada sidang media selepas menghadiri program High Profile Policing di pusat beli-belah Setapak Central pada Rabu.

Kedua-dua mayat warga Bangladesh itu masing-masing ditemui di bawah jambatan Jalan Yew, Kuala Lumpur dan di dalam longkang di Jalan Ulu Yam, Gombak, Selangor.

Tambahnya, pihaknya juga sedang bekerjasama bersama polis Selangor. Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tambah Mazlan, setakat ini polis telah mengambil keterangan beberapa individu termasuk teman wanita dan juga bekas majikan mangsa. Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan laporan itu secara terperinci.

Ahad lalu, dua mayat lelaki dipercayai warga asing ditemui dalam keadaan jari kaki dikerat serta kecederaan pada bahagian muka dan badan.

Siasatan awal polis mendapati kedua-dua mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum mayat dicampak di kawasan berkenaan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat sila hubungi Polis KL: 03-2146 0522

MYbaru

Topik mengenai Malaysia Baru, Berita Terkini, Foto, Video, Foto mengenai Pakatan Harapan dan lihat perkembangan terkini, berita, informasi dari Hicore Solutions.

No comments:

Post a Comment