Jangan sesiapa berani menghina Institusi Diraja di Malaysia | MalaysiaBaharu.org - Membina Malaysia Baharu

Pages

Jangan sesiapa berani menghina Institusi Diraja di Malaysia


Shah Alam – Rakyat terkejut dengan keputusan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V meletakkan jawatan Yang di-Pertuan Agong berkuatkuasa hari ini dan pastinya tertanya-tanya apakah punca baginda mengambil keputusan sedemikian. Begitupun, Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, tidak mungkin rakyat dapat mengetahui punca sebenar baginda meletakkan jawatan.

Ini kali pertama dalam sejarah negara kita Yang di-Pertuan Agong tidak menghabiskan tempoh pemerintahan baginda. “Yang lain itu maksudnya mangkat ketika ketika menjawat jawatan tapi ini meletakkan jawatan dalam tempoh perkhidmatan, ini kali pertama.

“Sudah tentu rakyat nak tahu sebabnya tapi mungkin kita tidak akan dapat tahu sebabnya yang sebenar. Khabar angin mungkin ada tapi mengetahui sebabnya secara rasmi, saya fikir tidak mungkin,” katanya kepada Sinar Harian. Dalam pada itu, Kok Seong tidak menolak kemungkinan pendedahan perbelanjaan Istana Negara dan penularan gambar kahwin Sultan Muhammad mungkin mempengaruhi keputusan baginda.


“Nak kata tiada pun, kemungkinan itu ada. Dua tiga hari lepas pun ada orang bercakap Yang di-Pertuan Agong nak letak jawatan. Orang kata khabar angin tapi hari ini dah jadi kenyataan. “Sebelum ini, Kadir Jasin buat, itu bukan khabar angin sebab beliau ada beri bukti, menularkan satu akaun. Yang berkahwin itu pula, pihak istana tidak pernah nafikannya dan tidak mengiyakannya.

“Maksudnya pihak istana berdiam diri sahaja. Jadi, tanda tanya itu semakin kuat,” ujarnya. Tambah beliau, sebagai anak Kelantan, beliau mengakui berasa sedih dengan keputusan Sultan Muhammad dan beliau percaya ramai anak Kelantan lain turut berkongsi perasaan sedih bersamanya. “Bila Yang di-Pertuan Agong datang dari Kelantan, kami rasa bangga.

Kelantan walaupun miskin dari ekonomi tapi Kelantan dapat sumbang sesuatu dalam bentuk Yang di-Pertuan Agong dari negeri ini. “Saya rasa semua rakyat Kelantan sedih dengan keputusan ini. Baginda telah menjalankan tugas dengan baik, yang penting tiada kontroversi apa pun semasa baginda memerintah.

“Baginda juga dilihat sebagai satu simbol Islam, jadi rakyat terkejut besar dengan keputusan ini,” jelasnya. Sultan Muhammad meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa semalam seperti diumumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz melalui kenyataan media Istana Negara.

Bukan RM250 Juta Hanya RM79 Juta, Perbelanjaan Agong Rendah Berbanding Kerajaan Beraja Lain di Dunia


Dalam minggu ini, agak kecoh tentang isu jumlah perbelanjaan DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, Sultan Muhammad V apabila nilai perbelanjaan bagi tempoh 16 bulan pemerintahan dikatakan mencecah RM250 juta seperti ditulis oleh tokoh wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin.

Ekoran isu itu, rakyat mula sangsi sehingga netizen mengeluarkan berbagai kenyataan bercampur baur. Kes ini mendapat perhatian dari Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang berkata, satu kertas siasatan dan dakwaan telah dibuka mengikut Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah.

Isu ini turut mendapat perhatian dari Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkata, adalah tidak wajar perbelanjaan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dipolemikkan. Susulan isu ini yang mana dilihat rakyat begitu bebas bersuara di media sosial selari dengan Malaysia Baru, adalah sewajarnya sebelum mengkritik atau memberikan pandangan, amat wajar sekali mendapatkan fakta dan sumber sahih.

Memandangkan isu ini agak panas, Friends Of Istana Negara dalam satu kenyataan di laman rasmi facebook mereka berkata jumlah sebenar perbelanjaan Agong hanya RM79,284,717.50 dan disahkan oleh kakitangan Istana Negara dan bukannya seperti dilaporkan iaitu RM250 juta bagi 16 bulan tempoh pemerintahan. Kos ini meliputi pertabalan Baginda serta melibatkan beberapa istiadat rasmi. Malah apa yang baiknya, jumlah perbelanjaan Sultan Muhamad V ini jauh lebih rendah berbanding kerajaan beraja negara jiran iaitu Thailand yang memperuntukkan USD123 juta bagi Raja Thailand.

Baca kenyataan penuh di sini. Kami sangat kecewa bahawa blog dan berita yang tidak disahkan baru-baru ini menyebarkan tentang perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong Malaysia. Berita-berita ini seolah-olah menimbulkan syak-wasangka mengenai pentadbiran dan perbelanjaan Istana Negara. Ia seolah-olah satu usaha oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan reputasi Duli Yang Maha Mulia, Yang diPertuan Agong dan peranan Baginda sebagai pembela perlembagaan Malaysia dan hak-hak Melayu dan Bumiputera dan semua warganegara Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong adalah ketua negara Malaysia yang kita cintai. Terdapat kenyatan yang dibuat oleh bekas ketua editor NST yang menyebut bahawa perbelanjaan Yang diPertuan Agong adalah melebihi 250 juta ringgit untuk tujuan penginapan, kediaman dan istana, barangan peribadi, pesawat dan peralatan pengangkutan, latihan dan pengiring, pakaian dan upacara, hadiah dan cenderahati, lawatan ke luar negeri dan gaji kakitangan istana.


Kami ingin menegaskan bahawa perbelanjaan rasmi Yang di-Pertuan Agong dari 16 Disember 2016 sehingga 30hb April 2018 (tempoh 16 setengah bulan) adalah RM79,284,717.50. Ini adalah kos sebenar yang disahkan oleh kakitangan Istana Negara dan bukannya berita palsu dan tidak disahkan. Perbelanjaan termasuk kos untuk menjalankan tugas rasmi yang termasuk lawatan diplomatik oleh Yang diPertuan Agong kepada pelbagai ketua negara untuk menjalin hubungan baik antara Malaysia dan negara-negara lain.

Perbelanjaan juga mencerminkan kos upacara Penabalan Yang di-Pertuan Agong dan juga kos penyelenggaraan keselamatan dan latihan pasukan keselamatan yang melindungi Yang di-Pertuan Agong.

Jika dilihat dari perspektif lain, kos ini sebenarnya sangat sederhana jikalau dibandingkan dengan kos yang ditanggung oleh Monarki dari negara lain.

Sebagai contoh, Reuters melaporkan bahawa bajet untuk Raja Thailand adalah USD123 juta iaitu sebanyak setengah bilion ringgit. (sumber: https://www.reuters.com/article/us-thailand-king/thailand-proposes-palace-budget-of-more-than-123-million-idUSKBN18Z17A). Ini tidak termasuk kos untuk mengekalkan kepentingan perniagaan-perniagaan kerabat diRaja Thailand.

Menurut Republic Campaign Ltd, sebuah organasasi non-profit di UK, kerabat diRaja United Kingdom menelan belanja UK sekitar 345 juta pound setiap tahun iaitu lebih dari 1.8 bilion ringgit. (sumber: https://www.vanityfair.com/style/2018/06/royal-family-costs)

Kami ingin menyeru kepada rakyat Malaysia untuk mengabaikan laporan berita-berita dongeng yang diviralkan sekarang yang bertujuan untuk melemahkan peranan Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi Malaysia dan kepentingan semua rakyat Malaysia. Sila laporkan semua berita yang palsu dan tidak disahkan kepada pihak berkuasa yang sesuai bagi mereka untuk mengambil tindakan yang diperlukan. Daulat Tuanku

MYbaru

Topik mengenai Malaysia Baru, Berita Terkini, Foto, Video, Foto mengenai Pakatan Harapan dan lihat perkembangan terkini, berita, informasi dari Hicore Solutions.

No comments:

Post a Comment