DuitNow tawar hadiah lebih RM3.6 juta untuk pelanggan bank | MalaysiaBaharu.org - Membina Malaysia Baharu

Pages

DuitNow tawar hadiah lebih RM3.6 juta untuk pelanggan bank


Kuala Lumpur: Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) menawarkan hadiah bernilai RM3.6 juta termasuk rumah bernilai RM1 juta sempena pelancaran DuitNow.
Ia berlangsung dari 8 Januari hingga 31 Mei 2019 dan pemenang akan dipilih sepanjang tempoh peraduan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Peter Schiesser berkata, pihaknya turut menawarkan wang tunai berjumlah RM1 juta, Mercedes-Benz GLC 200, Mercedes-Benz A 200, lima kad hadiah IKEA bernilai RM20,000 dan satu pakej percutian Malaysia Airlines bernilai RM100,000.

“Kami teruja untuk melancarkan kempen ini dan berharap ia dapat menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menggunakan kemudahan yang canggih dan inovatif ini untuk menghantar wang dan membuat pembayaran melalui DuitNow,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Menurutnya, pemenang hadiah utama akan diberi keistimewaan untuk memilih lokasi kediaman yang ditawarkan.
“Kami menawarkan sebuah rumah bernilai sehingga RM1 juta dari koleksi hartanah IJM Land, Sime Darby Property atau SP Setia sebagai hadiah utama.
“Malah, pemenang berpeluang memilih lokasi yang diidamkan,” katanya.
Menurutnya, untuk peluang memenangi hadiah yang ditawarkan, pelanggan perlu mendaftarkan DuitNow di bank mereka.
“Setiap penghantaran wang dengan DuitNow ke nombor telefon bimbit atau DuitNow ID berlainan pada setiap hari akan dikira sebagai satu penyertaan peraduan.
“Pelanggan yang telah mendaftar atau sudah melakukan pradaftar untuk DuitNow layak menyertai peraduan ini,” katanya.
Dengan pelancaran DuitNow, semua bank akan mula memindahkan sistem Instant Transfer (e-IBFT), yang menggunakan teknologi lama ke platform DuitNow dan pemindahan ini dijangka selesai menjelang Jun 2019.
Berbanding Instant Transfer, platform DuitNow mempunyai fleksibiliti untuk menyokong fungsi perkhidmatan baru di masa akan datang seperti pembayaran QR, transaksi permintaan-untuk-dibayar (Request-to-Pay), debit segera serta penambahan kepada pesanan pembayaran untuk perniagaan.

MYbaru

Topik mengenai Malaysia Baru, Berita Terkini, Foto, Video, Foto mengenai Pakatan Harapan dan lihat perkembangan terkini, berita, informasi dari Hicore Solutions.

No comments:

Post a Comment