80,000 entiti miliki kekayaan luar biasa di Malaysia tidak bayar cukai | MalaysiaBaharu.org - Membina Malaysia Baharu

Pages

80,000 entiti miliki kekayaan luar biasa di Malaysia tidak bayar cukai


Kuala Lumpur – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengenalpasti 79,786 pembayar cukai yang terdiri daripada individu, syarikat, pertubuhan dan koperasi yang memiliki kekayaan luar biasa tetapi gagal mengisytihar cukai pendapatan atau membuat pengisytiharan tidak tepat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, LHDN mendapatkan maklumat kewangan daripada pegawai-pegawai percukaian di luar negara selain melakukan pemantauan pada media sosial, majalah dan akhbar.

“Bila kami tengok media sosial, majalah dan suratkhabar yang mana ada yang menunjukkan harta atau kekayaan luar biasa, kami akan membuat siasatan apakah pengisytiharan yang dibuat bersamaan dengan harta yang dimiliki mereka.

“Orang ramai juga boleh membuat laporan kepada LHDN sekiranya mendapati ada individu atau syarikat yang memiliki kekayaan luar biasa dan tidak membuat pengisytiharan kepada kami,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar Percukaian Kebangsaan 2018 di sini hari ini.

Pembayar cukai yang memiliki kekayaan luar biasa yang disyaki tidak membuat pengisytiharan pendapatan dengan sewajarnya telah diberikan surat tawaran pengakuan sukarela dan notis di bawah Seksyen 79 Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi meminta maklumat tambahan dan penjelasan.

Mereka yang menerima notis di bawah Seksyen 79 ACP 1967 dikehendaki untuk memberikan maklum balas kepada LHDN dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis diserahkan.

Kegagalan memberikan maklum balas dalam tempoh ditetapkan boleh menyebabkan denda tidak lebih RM20,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Semasa pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 November lalu, kerajaan mengumumkan Program Khas Pengakuan Sukarela untuk menggalakkan pembayar cukai yang masih belum membuat pengisytiharan cukai pendapatan atau membuat pengisytiharan tidak tepat menunaikan tanggungjawab mereka dengan menawarkan kadar penalti yang lebih rendah.

Program yang bermula 3 November lalu dan akan berakhir pada 30 Jun 2019 terbuka kepada semua kategori pembayar cukai dan menawarkan kadar penalti yang lebih rendah iaitu 10 peratus sehingga 15 peratus daripada amaun cukai yang perlu dibayar.

Sekiranya gagal, mereka boleh dikenakan penalti yang lebih tinggi iaitu antara 80 peratus hingga 300 peratus.

Proses pengakuan sukarela juga dipermudahkan dengan hanya membuat pengisian borang cukai e-filing atau borang kertas.

Manakala bagi pembayar cukai yang telah membuat pengisytiharan cukai pendapatan tidak tepat hanya perlu menghantar surat atau emel kepada LHDN bagi memaklumkan hasrat untuk membuat pengakuan sukarela dan melaporkan pendapatan sebenar dalam surat tersebut.

MYbaru

Topik mengenai Malaysia Baru, Berita Terkini, Foto, Video, Foto mengenai Pakatan Harapan dan lihat perkembangan terkini, berita, informasi dari Hicore Solutions.

No comments:

Post a Comment